41,701 kes jenayah komersial babit kerugian RM3.1 bilion sepanjang 2024 - Utusan Malaysia

41,701 kes jenayah komersial babit kerugian RM3.1 bilion sepanjang 2024

RAMLI Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan kerugian akibat jenayah komersial lebih RM3.1 bilion sepanjang tahun lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 41,701 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh terbabit.

Menurutnya, jenayah komersial paling banyak direkodkan bermula awal Januari sehingga hujung Disember adalah melibatkan jenayah penipuan sebanyak 37,240 kes melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM2.45 bilion.

Katanya, kes melibatkan pecah amanah jenayah pula sebanyak 1,448 kes melibatkan kerugian sebanyak RM546.39 juta.

“Kes melibatkan salah guna harta dengan curang pula adalah sebanyak 62 kes dengan kerugian RM66.29 juta, jenayah siber 720 kes (RM32.7 juta), pemalsuan 128 kes (RM10.1 juta) dan wang palsu sebanyak 950 kes melibatkan kerugian RM1.16 juta.

“Turut direkodkan, jenayah melibatkan Akta Pemberi Pinjaman Wang (Ahlong) sebanyak 1,060 kes melibatkan kerugian RM(5.29 juta), kes VCD/DVD dua kes dan lain-lain kes sebanyak 91 dengan jumlah kerugian (RM1.6 juta),”katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Ramli, kira-kira 40 peratus daripada jumlah kertas siasatan dibuka pada tahun lalu iaitu 16,813 kes berjaya dituduh di mahkamah.

Jelasnya, kes penipuan dalam talian mencatatkan jumlah tertinggi bagi jenayah komersial iaitu 35,368 kes dengan kerugian mencecah RM1.57 bilion, pada tahun lalu.

“JSJK turut memberikan fokus kepada aktiviti pencegahan dengan tujuan untuk memberikan informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial serta modus operandi terkini ‘scammer’.

“JSJK melaksanakan sebanyak 10,406 aktiviti pencegahan yang merangkumi pelbagai aktiviti kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya