Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyumbangkan alat tulis kepada hampir 400 pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, sempena Majlis Restu Ilmu 2024, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban pelajar yang memerlukan serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai salah satu usaha menyokong kejayaan akademik pelajar.
Selain menyumbangkan alat tulis, NIOSH turut mengambil menyampaikan mesej penting kepada pelajar dan guru tentang kepentingan keselamatan diri serta kesihatan fizikal dan mental di rumah, di jalan raya, dan di sekolah.
Pesanan tersebut selari dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan pendekatan bersepadu dan holistik dalam pembangunan masyarakat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bandar Baru Bangi, Wan Normiza Wan Mat Nor, yang mewakili pengetua sekolah, serta Pengurus Perniagaan dan Pemasaran NIOSH, Mohd Hussin Abd. Salam
Yang turut hadir wakil PIBG, guru-guru, dan pelajar-pelajar Tingkatan 5. – UTUSAN