KUALA NERUS: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu menerima sebanyak 40 aduan berkaitan hal ehwal pengguna sejak 1 Januari hingga Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah itu,
kesalahan melibatkan harga adalah aduan tertinggi sebanyak 18 kes.
“Selain itu, aduan mengenai transaksi dalam talian pula adalah tujuh kes diikuti barang kawalan (lima kes) dan perkhidmatan mengelirukan (empat kes).
“Terdapat juga aduan mengenai bengkel kenderaan bermotor, barang tiruan, perihal perdagangan palsu, sewa beli kenderaan, jualan kredit dan jualan langsung pula masing-masing sebanyak satu kes.
“Kesemua aduan ini telah disiasat dan pihak syarikat atau pemilik perniagaan diberikan notis bagi mengemukakan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut,” katanya selepas melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Katanya, daerah Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi sebanyak 19 aduan, Besut dan Dungun masing enam aduan, Hulu Terengganu (lima aduan) dan Kemaman (empat aduan).
“KPDN menerima semua aduan itu melalui portal rasmi serta ada juga menerusi panggilan telefon dan media sosial seperti WhatsApp,” katanya. – UTUSAN