RANAU: Seramai 39,548 orang calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sabah yang bermula hari ini.
Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata, daripada jumlah itu, 35,232 orang calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 472 orang calon sekolah di bawah agensi kerajaan, 234 orang calon Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).
Beliau berkata, seramai 3,378 orang petugas ditempatkan di 313 pusat peperiksaan di seluruh Sabah.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung.
“Justeru, calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau JPN Sabah dengan kadar segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di Ibu Pejabat JPN Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, di sini hari ini.
Menurutnya, JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Jelas beliau, JPN Sabah turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
Peperiksaan bertulis SPM 2024 mula dilaksanakan hari ini sehingga 6 Februari 2025. – UTUSAN