KUALA TERENGGANU: Satu rangka dipercayai milik manusia ditemukan di Pantai Batu Buruk 2 dekat sini, malam tadi.
Rangka itu dijumpai selepas polis menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 10.10 malam yang melaporkan penemuan tulang di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, ketika ini siasatan masih sedang dijalankan dengan bantuan pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.
“Tempat rangka itu ditemukan ialah dalam kawasan semak, di tepi longkang kering yang tidak berair di belakang kawasan kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak lagi dihuni. Kawasan tersebut sangat gelap kerana tiada sumber pencahayaan dengan jarak 40 meter dari gigi air ketika air pasang.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 34 ketulan dan serpihan tulang ditemukan dan dikumpulkan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, tulang yang dikumpul dihantar ke Unit Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Jabatan Kimia Malaysia untuk pemeriksaan lanjut.
“Risikan lanjut dijalankan bagi mengesan kawasan sekitar merupakan perkuburan lama atau persendirian. Usaha mengesan mangsa bergantung kepada hasil pemeriksaan perubatan dan kimia seperti jantina, tempoh kematian dan lain-lain maklumat yang diperoleh kemudian,” katanya. – UTUSAN