IPOH: Seramai 31,705 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di seluruh negeri telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu bermula hari ini sehingga 6 Februari depan.
Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba’ai berkata, daripada jumlah itu sebanyak 30,143 orang merupakan calon sekolah manakala 1,562 orang lagi calon persendirian.
Menurutnya, kesemua calon tersebut menduduki peperiksaan berkenaan di 323 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan dikendalikan oleh petugas peperiksaan seramai 3,145 orang.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, negeri Perak juga mempunyai Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) iaitu seramai 135 orang berbanding 119 orang bagi SPM tahun 2023.
“Daripada enam kategori CPBK yang berdaftar, 62 pelajar adalah kategori masalah pembelajaran, kurang upaya pelbagai (6), kurang upaya pertuturan (2), kurang upaya fizikal (35), kurang upaya pendengaran (8) dan kurang upaya penglihatan (22 orang),” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Pasir Puteh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Menurut Safuan, bagi memastikan peperiksaan SPM di negeri ini berjalan lancar, seramai 2,755 orang petugas dalam kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) telah dilantik oleh Jabatan Pendidikan Perak (JPN).
Katanya, jumlah itu merangkumi seramai 112 orang penyelia kawasan dengan 323 orang ketua pengawas selain 323 orang timbalan ketua pengawas dan 1,997 orang pengawas.
“Selain itu, seramai 390 orang pengawas sukarelawan dalam kalangan orang awam juga dilantik untuk peperiksaan SPM tahun ini selepas ia mula diperkenalkan pada SPM tahun lalu,” katanya. – UTUSAN