LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim
Malaysia) berjaya menemukan dua bot yang membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myanmar di kawasan dua batu nautika Barat Daya Pulau Rebak,
Langkawi lewat petang semalam.
Menurut Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, kesemua PATI tersebut dilaporkan dalam keadaan keletihan selepas dipercayai melalui perjalanan yang panjang tanpa bekalan makanan dan minuman mencukupi.
Katanya, dianggarkan hampir 300 orang PATI berada di dalam bot terbabit dan Maritim Malaysia telah memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan minuman air bersih sebelum bot PATI Myanmar tersebut diusir keluar sehingga ke perairan sempadan negara bagi meneruskan pelayaran.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa Thailand bagi
mendapatkan maklumat tambahan mengenai pergerakan bot ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Pagi semalam, sebanyak 196 PATI dari Myanmar turut ditahan di Teluk Yu di sini selepas bot yang mereka naiki ditemukan terdampar di perairan berkenaan.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868. – UTUSAN