PASIR PUTEH: Lebih 30 pemandu lori tanah Kuari Bukit Yong, di sini, mendakwa pendapatan terjejas apabila gaji bulanan mereka tidak dibayar sejak tiga bulan lalu.
Difahamkan, keadaan itu berlaku berikutan syarikat sub-kontraktor dari China yang membina jajaran rel Kereta api Laju Pantai Timur (ECRL) tidak melunaskan bayaran perkhidmatan pengangkutan, pembekalan batu dan tanah di bawah syarikat PTC Machinery (PTC) berjumlah RM3.6 juta.
Penyelia pengangkutan PTC, Remie Zulfakar Ramlan berkata, operasi syarikat terjejas apabila pemandu lori mengambil keputusan mogok dan mencari peluang kerja di tempat lain.
“Pemandu lori memerlukan wang untuk sara hidup keluarga masing-masing. Mereka tidak mampu bertahan dengan kerja tanpa gaji dalam tempoh yang lama.
“Kita mohon syarikat sub-kontraktor terbabit melunaskan segera bayaran tertunggak demi kebajikan pemandu lori terbabit,” katanya ketika ditemui selepas piket aman 30 pemandu lori di atas Bukit Yong, di sini, semalam.
Piket itu bermula pada pukul 10.30 pagi bagi menuntut pembayaran gaji bersurai selepas kehadiran anggota polis Balai Polis Bukit Yong pada pukul 11.11 pagi menasihatkan bersurai.
Remie Zulfakar berkata, PTC juga terpaksa menanggung bebanan hutang termasuk gagal melunaskan pinjaman syarikat kewangan selain terpaksa mengurangkan tenaga pekerja.
Seorang pemandu lori, Othman Zakaria, 50, berkata, mereka sepatutnya menerima pendapatan di antara RM3,000 hingga RM4,000 namun tertangguh sejak Oktober tahun lalu.
“Ini kali pertama bekerja tanpa upah yang menyukarkan menyiapkan keperluan persekolahan dan perbelanjaan harian keluarga,” katanya.-UTUSAN