30 pemandu lori berpiket tuntut bayaran gaji

30 pemandu lori berpiket tuntut bayaran gaji

SEBAHAGIAN pemandu lori yang berpiket aman di hadapan PTC Michenery atas Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan. -  UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 30 pemandu lori tanah Kuari Bukit Yong, di sini, mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran gaji bulanan tidak dibayar sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan, keadaan itu berlaku berikutan syarikat sub-kontraktor dari negara China yang membina jajaran rel Kereta api Laju Pantai Timur (ECRL) tidak melunaskan bayaran perkidmatan pengangkutan, pembekalan batu dan tanah di bawah syarikat PTC Michenery (PTC) berjumlah RM3.6 juta.

Penyelia pengangkutan PTC, Remie Zulfakar Ramlan berkata, operasi syarikat terjejas apabila pemandu lori mengambil keputusan mogok dan mencari peluang kerja di tempat lain.

“Pemandu lori memerlukan wang untuk sara hidup keluarga masing-masing. Mereka tidak mampu bertahan dengan kerja tanpa gaji dalam tempoh yang lama.

“Kita pohon syarikat sub-kontraktor terbabit melunaskan segera bayaran tertunggak demi kebajikan pemandu lori terbabit,” katanya ketika ditemui selepas piket aman 30 pemanduk lori di atas Bukit Yong, di sini semalam.

Remie Zulfakar berkata, PTC juga terpaksa menanggung bebanan hutang dalam pelbagai perkara termasuk gagal melunaskan pinjaman syarikat kewangan selain terpaksa mengurangkan tenaga sumber pekerja.

Seorang pemandu lori, Othman Zakaria, 50, berkata, pemandu lori yang sepatutnya menerima pendapatan di antara RM3,000 hingga RM4,000 namun tertangguh sejak Oktober tahun lalu.

“Ini kali pertama saya bekerja tanpa upah yang menyukarkan saya menyiapkan keperluan persekolahan dan perbelanjaan harian keluarga.

“Dalam tempoh berkenaan saya sepatutnya menerima bayaran RM10,000 kini terpaksa berhutang dengan ahli keluarga terdekat untuk membeli pakaian sekolah anak-anak,” katanya.

Seorang lagi pemandu lori, Abdullah Awang, 45, berkata wakil pemandu dan pengurusan PTC akan menemui sekali lagi pengurusan sub-kontraktor terbabit supaya bertindak segera melunaskan bayaran tertunggak.

“Campur tangan pihak atasan ECRL diperlukan memandangkan kerja pembinaan rel hampir siap. Kita khuatir bayaran mengikut perjanjian diabaikan apabila mereka pulang ke negara China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya