KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu mengeluarkan sebanyak 26 notis menghapus bahaya kebakaran sejak 13 Januari lalu sempena kempen keselamatan kebakaran Tahun Baharu Cina 2025.
Pengarahnya, Nor Mahathir Muhammad berkata, notis itu dikeluarkan hasil 103 pemeriksaan di bangunan dan lokasi tumpuan awam seperti hotel, pusat beli-belah dan rumah inap desa sepanjang tempoh tersebut.
“Notis ini dikeluarkan apabila JBPM mendapati adanya bahaya kebakaran di bawah sSksyen 2 tafsiran bahaya kebakaran Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
“Pelanggaran ini berbahaya kerana boleh meningkatkan risiko penyebaran api sekiranya berlaku kebakaran dan kita berharap pemilik bangunan ebih peka dengan perkara ini demi tanggungjawab keselamatan semua,” katanya selepas majlis pelancaran kempen keselamatan kebakaran sempena Tahun Baharu Cina yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah di sini, hari ini.
Antara kesalahan pelanggaran keselamatan yang sering berlaku di bangunan tumpuan ramai sebelum ini ialah kemudahan tanda ‘KELUAR’ yang tidak berfungsi, lampu kecemasan yang gagal menyala dan penggantian pintu rintangan api dengan pintu keselamatan tidak sesuai. – UTUSAN