BAGAN DATUK: Kira-kira 2,500 maahad tahfiz di seluruh negara diminta supaya mendaftar dengan kerajaan negeri masing-masing supaya dapat menjadikan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai salah satu subjek untuk prospek masa depan lebih baik kepada pelajar-pelajar instisusi keagamaan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini terdapat 1,169 maahad tahfiz berdaftar di seluruh negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, namun yang tidak berdaftar lebih banyak lagi iaitu 2,500.
“Mungkin kerana takut untuk mendaftar kerana tidak cukup syarat dan mematuhi piawaian ditetapkan oleh pihak bomba dan sebagainya.
“Jadi saya harap yang tidak berdaftar ini daftarlah dibawah kerajaan negeri supaya bantuan dapat diberikan.
“Jangan harapkan derma atau yuran ini bapa sahaja. Insya-Allah jika tahfiz itu berdaftar, saya akan bantu dengan sebaiknya,” katanya dalam ucapannya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata sedemikian pada Majlis Sesi Ramah Mesra dan Taklimat Projek Pembinaan Bangunan Sekolah Menengah Imtiyaz Tuminah Hamidi di Kampung Sungai Balai Darat di sini.
Beliau berkata, penerapan TVET sebagai salah satu subjek bagi pelajar tahfiz dapat menukar ekositem pendidikan negara agar lebih progresif.
“Mana-mana pelajar tahfiz yang telah mencapai 20 juzuk hafalan al-Quran akan diberikan kelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga tarafnya sama dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Manakala yang hafal 30 juzuk akan diberikan SKM tahap lima sama dengan diploma yang memudahkan mereka untuk melanjutkan pelajaran di enam universiti terpilih.
“Mereka bukan sekadar menjadi imam, guru maahad tahfiz semata-mata tetapi penghafal Al-Quran 30 jiuzuk yang juga seorang jurutera, arkitek dan peguam,” katanya.
Tambahnya, tindakan itu bukan bermotifkan politik iaitu UMNO tetapi untuk masa depan pelajar tahfiz yang lebih baik. – UTUSAN