JOHOR BAHRU: Sebanyak 24 buah motosikal yang berada dalam sebuah bengkel di Jalan Syaban, Kampung Bendahara, di sini, hangus dalam kejadian kebakaran, pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Muhamad Syahhir Ikhwan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.56 pagi.
Katanya, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah bengkel terbakar 80 peratus. Turut terbakar 24 biji motosikal yang berada dalam bengkel tersebut.
“PKO bertindak memadamkan kebakaran menggunakan aliran dan pancutan air dari pam jentera dan sumber pili bomba sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, insiden tidak membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
Operasi pemadaman membabitkan 20 anggota dari BBP Tebrau dengan bantuan BBP Johor Jaya, tamat pada pukul 5.30 pagi. – UTUSAN