NIBONG TEBAL : Seramai 23 individu cedera apabila bas persiaran yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 157.8 Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Sungai Bakap di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Saiful Bahari Mohamad berkata, setakat ini, dua daripada mangsa itu sedang dirawat di zon merah manakala sembilan dan 12 mangsa lagi masing-masing ditempatkan di zon hijau dan kuning.
Terdahulu katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.16 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dan BBP Nibong Tebal ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 24 orang penumpang bersama seorang pemandu dan kelindan dengan sebuah lori (treler).
“Tindakan pantas anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dengan mengeluarkan kesemua mangsa di dalam bas selain memberi rawatan awal menerusi pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagaimanapun berjaya menenangkan keadaan.
“Tiada mangsa yang tersepit dalam nahas itu dan mangsa-mangsa yang cedera juga telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya untuk rawatan,” katanya yang memberitahu, kes terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, laman X Plus Trafik memaklumkan, insiden kemalangan itu telah menyebabkan semua lorong ditutup bagi tujuan kerja-kerja pengalihan di mana aliran trafik terhenti sejauh 2.5 km kira-kira pukul 4.20 pagi tadi.-UTUSAN