SHAH ALAM: Lebih 215,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima manfaat pengecualian audit Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mulai tahun ini yang melibatkan syarikat perolehan dan aset tahunan semasa atau dua tahun sebelumnya tidak melebihi RM3 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, objektif inisiatif baharu SSM itu bertujuan mempermudahkan perniagaan termasuk syarikat diusahakan mahasiswa dan generasi muda.
Katanya, permohonan yang boleh dibuat mulai 1 Januari lalu itu turut membantu penjimatan kos dan menyumbang kepada usaha peningkatan kemajuan syarikat terlibat.
“Berdasarkan rekod SSM, lebih 215,000 syarikat memenuhi kriteria ditetapkan dan bakal memperoleh manfaat termasuk generasi muda.
“Selain perolehan aset tidak lebih RM3 juta, kriteria lain adalah pekerja pada akhir tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan sebelumnya tidak melebihi 30 orang,” katanya pada majlis penutupan Program Usahawan Muda Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Menurut Armizan, statistik SSM merekodkan pendaftaran syarikat dan perniagaan dalam kalangan belia berstatus Pengarah adalah seramai 246,463 orang setakat 31 Disember lalu.
“Jumlah pemegang saham pula adalah 258, 474 orang, pemilik perniagaan (792,794) dan pekongsi dalam entiti perkongsian liabiliti terhad (40,855). Ia selaras dengan agenda kerajaan dalam meningkatkan perekonomian rakyat menerusi penciptaan pendapatan dalam bidang keusahawanan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya berharap agenda mewujudkan usahawan berdaya saing dapat merealisasikan matlamat jangka panjang dalam meraih pendapatan berwajaran bagi kehidupan seharian golongan itu.-UTUSAN