PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 21 kenderaan perdagangan menerusi pemeriksaan terhadap 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dalam operasi khas sejak 30 Disember lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ menjalankan Operasi Khas Puspakom sebagai salah satu elemen khas menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tindakan penguatkuasaan dengan lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Menurutnya, pelaksanaan Op Khas Puspakom adalah untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan di Puspakom.
“Sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak 30 Disember lalu, pihak JPJ mengadakan pemeriksaan terhadap 37 buah Puspakom di seluruh negara dan hasil daripada operasi itu, sebanyak 21 buah kenderaan disita.
“Pihak JPJ mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, daripada jumlah sitaan itu, pihak JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan itu tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan.
“Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan.
‘Berikutan daripada kes itu, pihak JPJ mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom,” katanya.
Aedy Fadly berkata, pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
“JPJ Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya.- UTUSAN