PUTRAJAYA: Seramai 2,090 calon berdaftar menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 11 pusat peperiksaan di sini bermula hari ini.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP), Ezaiddin Hussain berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 42 pelajar adalah calon persendirian, manakala 10 lagi merupakan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran dan kurang upaya fizikal.
Menurutnya, pada tahun ini, terdapat dua calon yang menduduki peperiksaan SPM di Hospital Putrajaya.
“JPWPP siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.
“Mereka juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ruji Ubi meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2024 di sekolah berkenaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1.
Ezaiddin berkata, seramai 108 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan. – UTUSAN