JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membenarkan 20 lokasi baharu bagi mendirikan solat Jumaat bermula hari ini sempena pertukaran cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad mulai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, premis tersebut melibatkan surau kariah serta musolla di sekolah, pusat tahfiz dan perkampungan Orang Asli.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Premis terlibat adalah 10 surau kariah, sembilan musolla sekolah dan pusat tahfiz serta satu di perkampungan Orang Asli di Johor Bahru, Batu Pahat, Mersing, Kulai, Muar dan Kota Tinggi. Ketetapan ini berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 3 Januari 2025 berdasarkan syarat dan pematuhan peraturan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Fared berkata, langkah itu akan memudahkan orang ramai termasuk ibu bapa, pelajar serta pekerja sektor awam dan swasta melaksanakan solat Jumaat di kawasan berdekatan.
“Ini berikutan perubahan cuti hujung minggu 2025 yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan bersekolah bagi negeri Johor,” jelasnya.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa cuti hujung minggu di negeri ini ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari 2025. – UTUSAN