KUALA LUMPUR: Sebuah trak pikap dan sebuah kereta sedan dilihat merempuh sekumpulan individu di luar sebuah kelab malam di sini.
Sebuah video yang tular mengenai pelanggaran itu menunjukkan kereta sedan berwarna perak dan trak pikap berwarna putih memecut laju serta merempuh sekumpulan individu yang berdiri di tepi bangunan tersebut sebelum melarikan diri.
Beberapa ketika kemudian, kedua-dua kenderaan berkenaan dipercayai berpatah balik dan memandu melawan arus sebelum cuba sekali lagi untuk merempuh kumpulan yang sama.
Kereta sedan perak itu dilihat melanggar seorang individu dalam percubaan tersebut. Kedua-dua kenderaan itu kemudian membuat satu lagi pusingan dan cuba merempuh kumpulan yang sama.
Sedan perak itu turut dilihat melanggar sebuah objek dipercayai motosikal.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihak polis menerima laporan pada Rabu daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang mendakwa menyaksikan sebuah Toyota Hilux dan kereta Toyota Vios dipandu secara berbahaya berhampiran kelab malam berkenaan.
“Kenderaan-kenderaan tersebut melanggar sekumpulan individu sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya dua daripada mereka mengalami kecederaan.
“Salah seorang mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada mangsa yang tampil membuat laporan.
“Kami telah membuka siasatan cubaan membunuh berhubung insiden tersebut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Kami menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau hotline Polis Brickfields di 03-2297 9222,” katanya.-UTUSAN