PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan beliau tidak pernah masuk campur siasatan berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad.
Bagi Najib, bukanlah sesuatu yang salah baginya untuk mengetahui status sesuatu siasatan atau diberikan taklimat oleh Peguam Negara berhubung sesuatu kes.
Beliau berkata demikian pada pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee pada perbicaraan kes itu di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Muhammad Shafee: Adakah biasa bagi seorang peguam negara atau mana-mana timbalannya yang diberikan tugas untuk memberi taklimat kepada perdana menteri dari semasa ke semasa mengenai kes berkepentingan awam?
Najib: Ya, itu adalah amalan biasa, tetapi kami sedar untuk tidak campur tangan dalam tindakan pendakwa raya dalam kes berkepentingan awam.
Muhammad Shafee: Adakah Datuk Seri boleh memberi arahan tertentu kepada Peguam Negara atau Pendakwa Raya berkaitan kes jenayah?
Najib: Tidak.
Semalam, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib membacakan beberapa petikan transkrip di antara bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dzulkifli Ahmad dengan Najib.
Menurut transkrip tersebut, Dzulkifli sedang memaklumkan Najib status kertas siasatan kes penyelewengan dana itu.
Dzulkifli dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Suruhanjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.
Selepas tidak meneruskan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim telah dilantik sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria, iaitu institusi pengajian anti-rasuah yang unggul di dunia di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, Najib menyatakan beliau sering dipersalahkan terutamanya apabila terdapat pendakwaan membabitkan individu-individu berprofil tinggi.
Beliau kemudian memberi contoh kes membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang didakwa pada tahun 2010, berkaitan kes penipuan RM1.08 billion membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ujar Najib, disebabkan pendakwaan kes itu, Liong Sik sehingga hari ini masih tidak bertegur sapa dengannya.
Liong Sik dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2013 selepa mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN