KOTA BHARU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memohon menurunkan sebanyak 18,785 kandungan yang didapati melanggar undang-undang di pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh tiga minggu pada tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kandungan berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan (scam) paling banyak diturunkan dengan melibatkan jumlah 84 peratus.
Katanya, antara platform yang terlibat ialah Facebook, TikTok, YouTube dan selebihnya media sosial lain.
“Selain itu, lima peratus kandungan melibatkan buli siber dimohon oleh SKMM untuk diturunkan, empat peratus iklan produk perkhidmatan yang tidak dibenarkan manakala selebihnya lain-lain kesalahan.
“Kita dapati perjudian dalam talian dan scam menjadi kesalahan yang paling banyak dilakukan di pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Pengkalan Chepa di sini hari ini. – UTUSAN