153 graduan tamat latihan prapekerjaan

153 graduan tamat latihan prapekerjaan Program Pemerkasaan Tenaga Teknikal 

MUHAMMAD Adlan Hidayat Mohd. Sabri (kanan) dan Muhammad Arif Rusydi Mezah meraikan kejayaan menamatkan latihan Program Pemerkasaan Tenaga Teknikal TEP di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) DI Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 153 graduan menamatkan latihan prapekerjaan dalam Program Pemerkasaan Tenaga Teknikal (TEP) di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Mohamad Nasir berkata, graduan terlibat menerima sijil  TEP setelah berjaya mengikuti latihan tersebut dalam tempoh 10 bulan.

Katanya, seramai 129 orang daripada graduan tersebut ditaja oleh Unit Operasi Petronas dan 24 orang lagi merupakan dibiayai oleh Sarawak Shell Bhd. (SSB).

Beliau berkata,  semua graduan terlibat menyertai  latihan program tersebut pada pengambilan Mac 2024 lalu. 

“Program itu diperkenalkan untuk merapatkan kecekapan jurang antara pemegang diploma dan juruteknik peringkat industri.

“Program tersebut juga menggabungkan pendekatan latihan yang komprehensif dengan pembelajaran gabungan, teknikal temu bual kecekapan, lawatan kilang dan bengkel teknikal lanjutan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Peningkatan Tenaga Teknikal di INSTEP di sini, hari ini.

Mohamad berkata, graduan itu juga memperoleh pensijilan teknikal seperti Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP) serta Penguji Gas Bertauliah dan Penyelia Kemasukan Dalam Ruang Terkurung (AGTES)

Sementara itu, seorang graduan, Muhammad Adlan Hidayat Mohd. Sabri, 25, dari Cheneh Baru, Kemaman berkata, dia bersyukur kerana berjaya mendapat pekerjaan tetap selepas menamatkan latihan TEP itu.

Menurutnya,  sebelum mengikuti latihan itu, dia hanya membantu ibunya, Normah Abdullah, 53, yang berniaga kedai makan secara kecil-kecilan  setelah bapanya, Mohd. Sabri Husain meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.

“Saya masih gagal mendapatkan peluang pekerjaan setelah menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2021 lalu kerana keadaan ekonomi tidak menentu selepas Covid-19.

“Namun lega, hasil mengikuti latihan itu, saya ditawarkan bekerja di Petronas pada 16 Januari ini,” katanya.

Seorang lagi graduan, Muhammad Arif Rusydi Mezah, 23, dari Kampung Tepoh, Kuala Nerus berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar daripada golongan B40 mendapatkan peluang kerja lebih baik demi masa depan yang cerah.

“Saya berazam membantu kedua ibu-bapa menikmati  kehidupan lebih selesa apabila telah ditawarkan bekerja di Petronas ,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya