KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,510 notis dikeluarkan manakala 731 kenderaan diambil tindakan membabitkan pelbagai jenis kesalahan dalam Op Ambang Tahun Baharu (Motosikal) 2024 di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini malam tadi.
Operasi bermula 8.30 malam itu dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketika operasi, seorang penunggang motosikal warga Pakistan berusia 30-an sengaja melawan arus bagi elak ditahan selain gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.
Malah, seorang penunggang motosikal bertindak memecut laju hingga hampir melanggar anggota JPJ.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, sebanyak 5,094 kenderaan diperiksa sepanjang operasi terbabit.
Katanya, objektif utama operasi ini ialah mengurangkan kemalangan maut melibatkan motosikal melalui
penguatkuasaan terhadap pematuhan undang-undang jalan raya.
“Sebanyak 5,094 kenderaan diperiksa dengan 731 kenderaan dikenakan tindakan.
“Secara keseluruhan operasi ini, pihaknya telah mengeluarkan 1,510 notis iaitu 1,304 saman, larangan guna kenderaan (42 notis), arah periksa (47 notis) serta sita (117 notis),” katanya kepada pemberita ketika Op Ambang Tahun Baharu (Motosikal) di sini.
Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (634), cukai jalan tamat tempoh (315), tiada insurans (301), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (113) dan kesalahan cermin sisi (16).
Jelasnya, sebanyak 117 kenderaan yang disita melibatkan 101 motosikal dan 16 kereta.
“Operasi itu turut merekodkan penahanan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan 17 warga Indonesia, Pakistan (9), Myanmar (1) dan Yaman (1)
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan AADK pula mendapati tiga positif dadah,” katanya.
Tegasnya, operasi ini mencerminkan usaha bersepadu pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan jalan raya dan mencegah pelanggaran undang-undang sempena sambutan tahun baru.- UTUSAN