KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan membeli lebih 150 unit pam mudah alih dengan kos RM17 juta sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka bermula Mac atau April ini.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, ia adalah salah satu langkah diambil agensi itu bagi memastikan penanaman musim pertama tahun ini dapat berjalan mengikut jadual.
Katanya, KADA perlu menentukan jenis dan saiz pam yang diperlukan lebih dahulu sebelum membuat pembelian.
“Selama ini kita banyak meminjam pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi jika kita memiliki pam mudah alih sendiri, maka ia akan lebih membantu. Ini adalah salah satu persediaan menghadapi musim kemarau dan kita harap pam-pam berkenaan dapat diperoleh sebelum April.
“Kita sangat risau dengan kedatangan musim kemarau terutama jika kerosakan besi cerucuk di Stesen Pam Kemubu serta kemusnahan infrastruktur akibat banjir di Empangan Bukit Kwang dan Panggung 3 di Pasir Puteh tidak sempat dibaiki,” katanya selepas Majlis Makan Malam KADA Bersama Petugas Media Kelantan, di sini semalam.
Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan kunjung hormat ke atas Kerajaan Negeri Kelantan untuk membincangkan usaha mempercepat pemasangan besi cerucuk di Stesen Pam Kemubu yang roboh.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telah memberi kelulusan tetapi pada masa sama meminta pelbagai kajian dilaksanakan terlebih dahulu.
“Bagi kami tidak perlu lagi kajian lanjutan kerana besi cerucuk sudah wujud di situ sejak tahun 1980-an dan baru sahaja mengalami kerosakan. Peruntukannya sudah ada dan jika kerajaan negeri boleh beri kelulusan segera, kita boleh buat pembaikan secepat mungkin dan disiapkan sebelum April ini,” katanya. – UTUSAN