Seramai 15 pelajar Pra U Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 16, Maran mengadakan pameran karya catan kolaj bertemakan pencemaran di Nada Café Bandar Tun Abdul Razak, Jengka baru-baru ini.
Mereka bersepakat mempamerkan karya masing-masing sebagai tanda penghargaan kepada guru seni visual dan koleksi hasil tangan kepada Galeri Seni Visual Sena sekolah berkenaan.
Guru penyelaras Seni Visual Tingkatan 6 SMK Jengka 16, Ahmad Izuddin Mohamed sangat berpuas hati dengan hasil karya pelajar yang begitu komited menyiapkan lukisan mengikut tajuk pilihan sendiri,
“Aktiviti kolaj ini amat mencabar kerana pelajar perlu menyiapkannya pada saiz permukaan kolaj yang yang berskala besar. Ini memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi untuk disempurnakan oleh setiap pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Pelajar selepas majlis memperkenalkan Karya Seni Visual pelajar sempena Tahun 2025 di Nada Café Bandar Tun Abdul Razak Jengka baru-baru ini.
Tambahnya, catan kolaj bertemakan pelbagai kesan pencemaran yang berlaku ke atas manusia dan muka bumi akibat daripada tangan-tangan nakal manusia sendiri yang beraktiviti atas nama pembangunan dan kemajuan.
Bagi Nur Natasya Dahalan, dia yang memilih tema pencemaran asap industri yang tidak terkawal kerana kelemahan penguat kuasaan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan hidupan liar seperti unggas yang ‘menangis’ terkesan dengan asap hitam.
“Justeru seni catan yang dihasilkan itu boleh diterjemahkan akan pentingnya penguatkuasaan anti pencemaran.Jika lemah pemantauan dan penguat kuasaan alam sekitar bertambah parah,” katanya. – UTUSAN