MELAKA: Seramai 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja tahun lalu berbanding 139 orang pada 2023.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 64 orang ditamatkan perkhidmatan atas kesalahan dadah diikuti masalah integriti (56), jenayah (24) dan rasuah (tiga).
Katanya, bagi kesalahan syariah, dua pegawai dikenakan tindakan turun pangkat kerana menjalinkan hubungan intim dan poligami tanpa kebenaran.
“Kesalahan tertinggi dikesan adalah melibatkan narkotik seperti memiliki, mengedar dan positif dadah membabitkan seramai 64 orang. Kesalahan lain yang membawa kepada tindakan buang kerja adalah integriti, sabitan kes jenayah dan rasuah.
“Sementara itu, sebanyak 1,957 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,373 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) melibatkan warga PDRM telah dibuka setakat November tahun lalu. Dalam tempoh sama, seramai 1,212 orang telah dikenakan tindakan tatatertib,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini semalam.
Terdahulu, Azri menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan pemangkunya, Datuk Md. Nazri Zawawi berkuat kuasa hari ini.
Tambah Azri, sehingga November 2024, JIPS telah melakukan sebanyak 551,863 pemeriksaan pematuhan di seluruh negara dan mengesan lebih 5,150 kelemahan petugas di lapangan.
Menurutnya, Cawangan Risikan dan Operasi JIPS melaksanakan tangkapan ke atas 111 pegawai sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebanyak 49 tangkapan melalui serbuan maklumat dadah dan daun ketum diikuti perjudian, pemerasan, hidup mewah dan hubungan intim (32) serta pelacuran dan pusat hiburan (30),” ujarnya.-UTUSAN