147 pegawai, anggota polis dibuang kerja tahun lalu

147 pegawai, anggota polis dibuang kerja tahun lalu

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja tahun lalu berbanding 139 orang pada 2023 dengan kesalahan tertinggi dikesan adalah melibatkan narkotik. 

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 64 orang ditamatkan perkhidmatan atas kesalahan dadah diikuti masalah integriti (56), jenayah (24) dan rasuah (tiga).

Katanya, kesalahan tertinggi dikesan melibatkan narkotik seperti memiliki, mengedar dan positif dadah manakala kesalahan lain membawa kepada tindakan buang kerja adalah integriti, sabitan kes jenayah dan rasuah.

“Bagi kesalahan syariah, dua pegawai dikenakan tindakan turun pangkat kerana menjalinkan hubungan intim dan poligami tanpa kebenaran.

“Sebanyak 1,957 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,373 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) melibatkan warga PDRM dibuka setakat November tahun lalu dan dalam tempoh sama, 1,212 orang dikenakan tindakan tatatertib,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu, Azri menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan pemangkunya, Datuk Md. Nazri Zawawi berkuat kuasa hari ini.

Azri berkata, sehingga November 2024, JIPS melakukan sebanyak 551,863 pemeriksaan pematuhan di seluruh negara dan mengesan lebih 5,150 kelemahan petugas di lapangan, dengan Cawangan Risikan dan Operasi JIPS melaksanakan tangkapan ke atas 111 pegawai sepanjang tempoh berkenaan.

“Sebanyak 49 tangkapan melalui serbuan maklumat dadah dan daun ketum diikuti perjudian, pemerasan, hidup mewah dan hubungan intim (32) serta pelacuran dan pusat hiburan (30),” ujarnya.

Azri turut memaklumkan mengenai tahanan dalam lokap, sebanyak 25 kes direkodkan tahun lalu iaitu meningkat tiga kes berbanding 2023 yang mencatatkan 22 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya