DUNGUN: Seorang penternak kambing di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, di sini berputih mata selepas 14 ekor kambing baka Boer miliknya mati sejak Rabu lalu.
Mina@Zulkifli Mat Husin, 58, berkata, sehingga hari ini dia kerugian lebih RM15,000 selepas seekor demi seekor kambing dewasanya mati secara berperingkat.
“Pada awalnya, saya dapati kambing kurang aktif dan kurang makan serta ada yang cirit-birit dan enam daripada 40 ekor kambing itu mati pada 1 Januari lalu.
“Saya tak tahu kenapa kambing ini mati. Minggu lepas, kambing saya aktif seperti biasa,” katanya ketika ditemui di kandangnya, hari ini.
Mina berkata, semua kambing yang mati itu berusia antara dua hingga enam tahun dan telah sedia untuk dijual.
“Pagi tadi, dua ekor lagi kambing saya termasuk seekor kambing betina yang bunting turut mati,” katanya yang menternak kambing pelbagai baka sejak 15 tahun lalu.
Menurutnya, beberapa kakitangan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah datang ke kandangnya dan merawat ternakannya sebanyak dua kali, namun kejadian itu tetap berulang.
“Beberapa ekor kambing saya telah dirawat dan diberikan ubat, namun masih ada yang mati, saya memang buntu bila berlaku begini. Sekarang pun, masih ada beberapa ekor kambing yang tidak bermaya,” katanya. – UTUSAN