12,739 remaja sertai Kuiz pelaburan PNB Kategori Remaja

12,739 remaja sertai Kuiz pelaburan PNB Kategori Remaja

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting menjuarai pertandingan Kuiz Pelaburan PNB 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting dari Negeri Sembilan muncul juara Kuiz Pelaburan PNB baru-baru ini bagi Kategori Remaja, mengatasi empat sekolah finalis yang merupakan sebahagian daripada 300 sekolah Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB).

Sebagai juara kuiz kebangsaan, SMK Bandar Baru Serting membawa pulang hadiah berupa unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM3,600. Empat sekolah lain yang bertanding dalam pusingan akhir ialah SMK Rosli Dhoby, Sarawak (naib johan), SMK Tengku Sarafudin Badlishah, Kedah (tempat ketiga), SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur pula menduduki tempat keempat manakala SMK Dato’ Ahmad Maher, Kelantan (tempat kelima).

Menurut kenyataan akhbar TNB, kuiz tersebut menawarkan hadiah dalam bentuk unit ASB atau mana-mana unit amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Katanya, jumlah keseluruhan hadiah untuk pertandingan ini adalah RM11,700, iaitu naib johan menerima unit bernilai RM3,000 dan pemenang tempat ketiga dianugerahkan unit bernilai RM2,100.

Dua hadiah saguhati turut diberikan kepada finalis, masing-masing bernilai RM1,500.

Kuiz Pelaburan PNB tersebut bertujuan untuk memupuk literasi kewangan dan kesedaran pelaburan dalam kalangan pelajar muda.

Dilancarkan pada tahun 2001, Kategori Remaja pada awalnya terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Namun, mulai tahun 2023, dua penyertaan ditetapkan kepada sekolah-sekolah yang berdaftar dalam program KPBPNB.

Tahun ini, Kuiz Pelaburan PNB menerima 12,739 penyertaan, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan sejak ia dilancarkan sebanyak 448,353.

Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini termasuk Muhammad Nur Iman dari SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan yang menjuarai pertandingan ini.
Muhammad Nur Iman berkata, sebagai ahli Kelab Pelaburan Bijak PNB, saya telah mempelajari ilmu asas pelaburan, dan melalui pertandingan Kuiz ini, saya serta rakan-rakan berpeluang untuk menguji pengetahuan yang kami peroleh.

Sementara itu, pelajar daripada SMK Dato Ahmad Maher, Kelantan, yang menduduki tempat kelima, Firas Safiyya Mohd. Zarir, turut meluahkan rasa penghargaan dengan mengucapkan penghargaan kepada guru-guru dan PNB

“Kini saya lebih memahami kepentingan merancang kewangan sejak usia muda” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, pihaknya kekal teguh dalam mencapai matlamatnya, untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

Program KPBPNB tersebut kata beliau bertujuan untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan pengetahuan kewangan yang kukuh, termasuk perancangan kewangan dan pelaburan, dari seawal usia yang mungkin, bermula dari zaman persekolahan mereka.

Katanya, perancangan kewangan adalah asas penting untuk mencapai kestabilan ekonomi dan kejayaan.

” PNB menyeru para pelajar untuk memulakan pelaburan lebih awal, terus meningkat dan mengekalkan simpanan bagi menikmati manfaat jangka panjang .

“ASNB menyediakan aksesibiliti untuk semua rakyat Malaysia memulakan pelaburan serendah RM10.

“Aspek paling penting bagi kami adalah memupuk tiga tabiat kewangan yang positif, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Konsistensi dalam pelaburan adalah kunci untuk membina kekayaan jangka panjang, dan dengan pengkompaunan dividen, nilai pelaburan akan terus berkembang dari semasa ke semasa,” ujar Fadzihan Abbas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN