KLUANG – Seramai 120 orang kanak-kanak yang menyertai Program Sunathon gembira dapat bersunat awal kerana dapat memberi ruang masa secukupnya untuk mereka berehat panjang selepas disunatkan.
Seorang bapa, Mohd Hanzlah Hassan, 43, berkata, kegembiraan itu dapat dilihat daripada anaknya Mohammad Haraz, 6, apabila sanggup bangun awal pagi untuk persiapan ke tempat bersunat di Balai Bomba dan Penyelamat Kluang.
Katanya, anak ke lima daripada enam adik beradik itu juga dilihat tidak merasa gentar untuk bersunat malah menjadi antara peserta awal mendaftarkan diri dan bersunat.
“Syukur dengan program yang dianjurkan Pemuda UMNO Bahagian Kluang ini kerana memberi peluang anak-anak bersunat sebaik memulakan cuti persekolahan.
“Apabila mereka bersunat awal, secara tidak langsung memberikan masa yang panjang untuk berehat serta memudahkan ibu bapa merancang aktiviti bersama anak-anak sempena cuti sekolah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd Hanzlah turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi membantu ibu bapa menyunatkan anak-anak mereka dengan kos yang murah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, Program Sunathon anjuran Pemuda UMNO Bahagian Kluang ini merupakan salah satu takwim tahunan pihaknya.
Katanya, program dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Hospital Pakar KPJ Kluang dan Proton Street Car Kluang itu adalah antara usaha pihaknya membantu ibu bapa menunaikan kewajipan tanpa mengeluarkan kos yang membebankan. – UTUSAN