CYBERJAYA: Ayam Gepuk (M) Sdn. Bhd pengendali premis makanan resepi asli Indonesia di bawah jenama Ayam Gepuk Pak Gembus akan memperluas sijil halal di 50 cawangannya menjelang akhir tahun ini.
Ketika ini, 12 premis cawangan itu sudah pun memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain dapur berpusat yang membekalkan makanan ke semua premis.
Ketua Pegawai Operasinya, Zulkarnain Mohd Yusof berkata, pihaknya telah memulakan proses permohonan bagi mendapatkan SPHM itu sejak tahun lalu keranaa berpandangan sijil halal adalah sesuatu yang wajib sebagai salah satu cara meyakinkan setiap pelanggannya.
“Kami tidak hanya menumpukan kepada pendapatan semata-mata sebaliknya mahu yakinkan pelanggan bahawa setiap proses pengeluaran makanan bermula dari dapur berpusat hingga ke meja makan mematuhi sijil halal ditetapkan.
“Siji halal ini selari dengan inisiatif kerajaan bagi memperkukuhkan inisiatif halal di negara ini selain mengekalkan kebersihan, keaslian dan makanan berkualiti tinggi,” katanya pada Majlis Penerimaan Sijil Halal Ayam Gepuk Pak Gembus di sini, hari ini.
Zulkarnain berkata, SPHM ini adalah pencapaian besar bagi pihaknya dan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi jenamanya di negara ini.
“Setakat ini, cawangan yang telah menerima SPHM adalah Saujana Utama 3, Puncak Alam, Setiawangsa, Putra Heights, Semenyih, Bandar Seri Putra, Kajang, Kampung Pandan, NeoCyber, Bandar Baru Nilai, Seremban 3 and Bandar Enstek.
“Bagi cawangan yang lain, pelanggan tidak perlu risau kerana semua bekalan makanan ke semua cawangan adalah dari dapur berpusat kami yang telah diperakui halal,” katanya. -UTUSAN