KOTA BHARU: Sebanyak 115 projek pembangunan baharu diluluskan untuk negeri ini melalui pelan pusingan kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tahun ini.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kelulusan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan projek pembangunan yang dilaksanakan di Kelantan adalah sebanyak 467 projek dengan kos semasa RM25.7 bilion.
“Bagi RP4 RMK12 pada tahun lalu, Kelantan membelanjakan RM2.4 bilion, iaitu 84.9 peratus daripada peruntukan asal RM2.8 bilion sekali gus menunjukkan prestasi baik dalam pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
“Kita harap prestasi perbelanjaan pada tahun ini lebih baik dengan pelbagai projek pembangunan yang akan dimulakan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan Khas Pengerusi Bersama MTPNg Dengan Ketua-Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan, di sini hari ini
Beliau memberitahu, pada tahun lalu sebanyak 114 daripada keseluruhan 454 projek pembangunan RP4 RMK12 telah disiapkan di negeri ini.
Nik Nazmi berkata, kerajaan juga memberi perhatian khusus kepada isu tebatan banjir yang mahu disegerakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia diletakkan di bawah perhatian khusus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“PETRA akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kementerian Kewangan untuk melihat bagaimana ia boleh dipercepat kerana ia turut melibat prosedur kewangan selain soal-soal teknikal daripada segi kejuruteraan dan sebagainya.
“Tetapi memang perkara ini ada perhatian khusus daripada Perdana Menteri yang mana beliau sendiri bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memang memantau rapat perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN