KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) untuk tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan tersebut merangkumi latihan peningkatan kemahiran untuk penggiat pelancongan dan program pembangunan infrastruktur bagi keselesaan pelancong.
Katanya, ketika ini terdapat 30 produk pelancongan CBT yang aktif di seluruh Terengganu dengan penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang tahun.
“Daripada 30 CBT tersebut, Marang dan Kuala Nerus masing-masing mempunyai lima produk CBT diikuti Kemaman (empat), Besut (empat), Hulu Terengganu (empat), Setiu (empat), Dungun (dua) dan Kuala Terengganu (dua).
“Antara yang terkenal ialah Dataran Batu Putih di Marang, Kalang Warisan di Kuala Terengganu, Desa Pancaran Delima (Setiu) dan Kampung Pasir Gajah (Kemaman).
“Produk CBT melibatkan komuniti setempat dan terbukti konsep ini lebih berjaya memikat pelancong kerana dapat mengenali budaya dan cara hidup penduduk kampung dengan lebih dekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia..
Selain itu, beliau berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mempertimbang cadangan untuk mewujudkan sebanyak 11 lagi lokasi baharu CBT dalam masa terdekat.
Daripada jumlah itu, enam cadangan CBT ialah di daerah Dungun iaitu Wakaf Baharu, Pantai Teluk Bidara, Pantai Kampung Tanah Lot, Pantai Sura, Lubuk Kain dan Kolam Awam Tembesu di Paka.
Empat lagi terletak di daerah Hulu Terengganu iaitu Bukit Balik Hidung, Dataran Kampung Dusun, Bukit Jelutong, Belukar Bukit dan satu CBT di daerah Besut iaitu Lubuk Udang Sungai Tok Gong. – UTUSAN