TUMPAT: Ibu-bapa kepada 107 anak-anak pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings (GISBH) yang masih berada di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diseru menuntut anak masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sudah ada ibu bapa yang datang ke institusi terbabit untuk menuntut anak-anak mereka tetapi berubah fikiran pada saat akhir, mungkin kerana menerima nasihat daripada pihak tertentu.
Katanya, antara alasan yang dikenal pasti adalah ia sebagai langkah untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan atas kelewatan menyerahkan anak-anak pengikut GISBH kepada ibu bapa masing-masing.
“Itu adalah satu tindakan tidak adil. Kita tidak menyerahkan anak-anak mereka sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan mengikut proses perundangan yang sepatutnya.
“Jadi saya minta ibu-bapa yang berubah fikiran, tolonglah datang jumpa JKM dan tuntut anak masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Integrasi Kasih Kampung Angkat Madani sempena Majlis Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat Madani di Pasir Pekan Tengah, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, projek menaik taraf kampung Pasir Pekan Tengah kepada Kampung Angkat Madani menerusi peruntukan RM2.5 juta bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk setempat malah kepada agensi keselamatan.
Katanya, pembangunan fizikal termasuk pembinaan jeti terapung di situ turut memudahkan penugasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pembinaan jeti terapung menggunakan teknologi biokomposit dengan kerjasama Agensi Nuklear membolehkan penduduk setempat menjadikan sungai di sini sebagai sumber rezeki mereka.
“Malah ia akan menjadi laluan utama JBPM bagi kerja-kerja menyelamat mangsa lemas atau semasa bencana banjir,” katanya. – UTUSAN