KUBANG PASU: Sebanyak 1,049 botol cecair pencuci pakaian tiruan berjenama popular bernilai hampir RM20,000 dirampas dalam tiga serbuan serentak dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di tiga daerah, semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan yang turut disertai wakil pemilik cap dagangan berdaftar itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di tiga buah pasar raya di Kota Setar, Sungai Petani dan Baling.
Katanya, pencuci pakaian tiruan yang dijual di ketiga-tiga pasar raya itu bernilai RM19,897 dengan 572 botol dirampas di Sungai Petani, 283 botol di Kota Setar dan 194 botol di Baling.
“Jika dilihat dari mata kasar, pelekat dan botol digunakan kelihatan hampir sama. Namun jika diteliti botol cecair pencuci yang asli mempunyai pelekat lebih licin manakala label pada botol palsu kelihatan kusam.
“Selain itu pengguna dapat mengesan perbezaannya melalui bau. Bau cecair pencuci pakaian yang palsu tidak sewangi produk asli malah ada antaranya tidak berbau wangi langsung,” katanya pada sidang akhbar di Stor KPDN Kedah di Tunjang di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga pasar raya tersebut mendapatkan bekalan cecair pencuci pakaian daripada ejen yang sama.
“Sabun palsu itu dijual pada harga yang jauh lebih murah iaitu antara RM18.59 hingga RM19.99 berbanding harga asal iaitu sekitar RM25.
“KPDN melakukan risikan sejak September tahun lalu. Buat masa ini, kami masih menyiasat di mana cecair mencuci pakaian ini dihasilkan dengan keterangan daripada wakil pasar raya terlibat sudah diambil,” katanya yang memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.-UTUSAN