PITAS: Seramai 10,000 mangsa dianggarkan terjejas banjir susulan beberapa kampung dan jalan utama ditenggelami air akibat hujan lebat sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas, Asdi@ Faizal Hussin berkata, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan kira-kira 200 orang mangsa terjejas banjir.
PPS yang dibuka sejak 2.45 petang adalah PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II, PPS SK Salimpodon Darat, PPS Balairaya Kampung Lugu dan PPS Dewan Kusilad.
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Kusilad belum dimuktamadkan kerana proses pendaftaran hanya dibuka bermula 9 malam tadi.
Berdasarkan rekod, keadaan paras air di Sungai Kabatsan (4.57 meter) dan Sungai Bengkoka (2.69 meter) melebihi paras bahaya.
Sebanyak 16 jalan utama turut terjejas dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan, antaranya Jalan Kampung Manduring Laut, Jalan Salungkapit, Jalan Dandun Seberang, Jalan Bilangau Besar, Jalan Dandun Laut, Jalan Dandun Darat, Jalan Pangkalan Kanibongan, Jalan Pandai Mandamai dan Jalan Kampung Kusilad.
Asdi@ Faizal berkata, Pejabat Pendidikan Daerah Pitas mengesahkan dua buah sekolah turut terjejas banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Nibang dan Sekolah Kebangsaan Pandai Mandamai. – UTUSAN