10 tan ikan percuma sempena tahun baharu 2025 - Utusan Malaysia

10 tan ikan percuma sempena tahun baharu 2025

ORANG ramai mengambil ikan yang diedarkan secara percuma di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Sebanyak 10 tan ikan segar diedarkan secara percuma kepada kira-kira 10,000 penduduk di 31 lokasi di kawasan Parlimen Bukit Gantang selama dua hari bermula hari ini.

Sumbangan itu sempena sambutan tahun baharu 2025 dan membantu meringankan perbelanjaan harian penduduk.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, lokasi edaran merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, DUN Kuala Sepetang dan DUN Trong.

Menurutnya, untuk hari ini, sebanyak 7.5 tan ikan jenis lolong dan pelaling diagihkan di 25 lokasi sekitar DUN Changkat Jering dan DUN Kuala Sepetang manakala baki 2.5 tan akan diedarkan esok di enam lokasi di DUN Trong.

“Ikan segar ini diperoleh daripada nelayan di beberapa kawasan seperti Kuala Kedah (Kedah), Kuala Perlis (Perlis), Endau (Johor) dan Kuantan (Pahang).

“Program ini khusus untuk membantu golongan B40, asnaf, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan di kawasan Parlimen Bukit Gantang.

“Program seperti ini adalah usaha kecil kami untuk mengurangkan tekanan kos hidup rakyat terutama dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan. Saya berharap ia dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, program seperti ini boleh diperluaskan ke seluruh negara dengan sokongan pelbagai pihak.

“Kalau saya sebagai Ahli Parlimen mampu melaksanakan inisiatif ini, saya percaya individu atau kumpulan lain yang lebih besar juga boleh melakukannya.

“Usaha ini bukan untuk keuntungan peribadi, tetapi demi kepentingan rakyat,” katanya

Beliau menyeru lebih banyak pihak tampil membantu untuk memastikan program seperti itu dilaksanakan supaya dapat mencapai lebih banyak komuniti yang memerlukan.

“Program edaran ikan segar percuma ini mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya