1.9 j penduduk Gaza menanti tempat tinggal baharu

1.9 j penduduk Gaza menanti tempat tinggal baharu

RAKYAT Gaza berkhemah di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang rosak teruk ketika penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kawasan utara Semenanjung Gaza, di Jabalia, semalam. - GAMBAR AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha membangunkan semula Gaza memerlukan sokongan menyeluruh daripada komuniti antarabangsa khususnya dalam membiayai kos yang diperlukan.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, kehancuran di Gaza adalah menyeluruh, melibatkan hampir semua sektor seperti infrastruktur, pendidikan dan kesihatan musnah teruk.

Katanya, keperluan asas seperti makanan, air minuman bersih, penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan perlu menjadi keutamaan.

“Ramai penduduk kehilangan tempat tinggal akibat rumah mereka dimusnahkan dan kini hidup di khemah yang tidak selamat.

“Cuaca sejuk yang melanda Gaza telah menyebabkan beberapa kanak-kanak meninggal dunia, sama ada akibat kesejukan melampau atau kekurangan zat makanan. Maka, 1.9 juta orang di Gaza sekarang amat memerlukan tempat perlindungan yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Walid Abu Ali berkata, beliau tidak boleh mengenal pasti negara mana yang akan terlibat dalam memberikan dana kerana ia adalah tanggungjawab komuniti antarabangsa.

“Berapa banyak setiap negara akan menyumbang masih belum diketahui. Namun, bagi Palestin, jawatankuasa khas yang diketuai Perdana Menteri, Dr. Mohammad Mustafa sudah ditubuhkan untuk memastikan tindakan segera diambil bagi memulihkan keadaan di Gaza.

“Buat masa ini, komuniti antarabangsa sedang mencari mekanisme terbaik bagi membangunkan semula Gaza,” katanya.

Bertanya tentang berapa lama tempoh masa yang diperlukan untuk membina semula Gaza sepenuhnya, beliau menjawab ia mungkin mengambil masa yang amat lama.

“Bagi tempoh membersihkan runtuhan sahaja, ia dianggarkan sekurang-kurangnya lima tahun, apatah lagi keseluruhan Gaza.

“Persoalan utama adalah sama ada Israel akan menghentikan serangan mereka terhadap Gaza atau tidak. Jika jalan raya yang dibina kembali disasarkan semula, ia akan menjadi usaha sia-sia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya