Zaiton Hussain ibarat emak saya sendiri - Razali Buyong - Utusan Malaysia

Zaiton Hussain ibarat emak saya sendiri – Razali Buyong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DRAMA Opah, yang ditayangkan pada tahun 1983, pastinya meninggalkan impak buat mereka yang membesar sekitar era 80 dan 90-an. 

Pernah tersebut satu ketika dahulu mencipta fenomena, menjadi antara drama kekeluargaan yang meninggalkan banyak kenangan buat penonton.

Drama terbitan Husner Ahmad itu cukup meninggalkan kesan buat salah seorang pelakonnya iaitu Razali Buyong yang melakonkan watak Osman. 

Meskipun kini berusia 81 tahun, Razali masih dapat mengenang memori-memori manis yang tercipta sepanjang menjayakan drama Opah.

“Pada saya, semua, baik pelakon, pengarah dan kru penggambaran kami berkumpul macam satu keluarga. Makan, berbincang, berborak, semua bersama-sama.

“Keserasian yang tercipta antara kami bukan dibuat-buat, tapi lahir secara semula jadi.

“Keadaan begitu jarang berlaku dalam pembikinan drama sekarang ini. Semangat kekeluargaan itu kenangan paling manis dalam penggambaran Opah,” katanya.

Razali gagal menahan sebak saat saya meminta dia menceritakan pengalaman berlakon di samping arwah Zaiton Hussain yang memegang watak Opah Khalsom dalam drama itu.

Katanya, Zaiton sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri yang banyak menolong dan meninggalkan nasihat.

“Ibu saya sudah meninggal masa itu, jadi saya anggap arwah Zaiton benar-benar seperti emak kandung sendiri. 

“Arwah sering sakit-sakit ketika penggambaran. Suaminya selalu minta saya tengok-tengokkan keadaannya pada waktu itu. 

“Arwah memang rapat dengan saya. Saya akan ambil dan bawa dia ke set penggambaran serta akan tunggu babaknya selesai kemudian hantar dia pulang ke rumah, memang macam ibu sendiri,” kongsinya.

Kata Razali, dia antara individu yang paling terkesan ketika Zaiton meninggal dunia pada Jun 2001.

“Saya terima khabar pemergiannya pada waktu Subuh. Sewaktu membacakan surah Yasin, air mata saya jatuh berlinangan. 

“Arwah banyak bantu saya, ketika saya sesak tak kehabisan wang, dialah yang sudi menghulurkan. Macam emak sendiri, dia meninggalkan banyak nasihat dan kebaikan,” kongsinya.

TINGGALKAN SEKOLAH, JUAL PISANG GORENG

Bercerita mengenai latar belakang, Razali memaklumkan dia dibesarkan dalam persekitaran serba kekurangan dengan kedua ibu bapanya bercerai ketika umur Razali tiga tahun. 

“Saya memutuskan untuk tinggal bersama emak selepas ibu bapa bercerai. Keadaan kami memang susah, tinggal pula di kawasan setinggan berdekatan kawasan yang sekarang dikenali sebagai Jalan Kuching. 

“Ibu saya waktu itu berniaga goreng pisang di kawasan yang sekarang ini didirikan Pertama Complex untuk menjana pendapatan.

“Disebabkan keadaan susah, saya terpaksa berhenti sekolah untuk membantu ibu berniaga,” katanya.

Pembabitan Razali dalam dunia lakonan bermula sekitar pertengahan era 70-an. Ketika bertugas sebagai pembantu di Hospital Kuala Lumpur, salah seorang rakan mengajak Razali mengikuti kursus lakonan yang dikendalikan barisan penggiat drama dan filem terkenal waktu itu.

“Kawan ajak saya masuk kursus lakonan di Panggung Drama yang waktu itu berlokasi di Jalan Tun HS Lee. Kursus itu dikendalikan Othman Hafsham, Abdullah Zainol, Ahmad Yatim dan ramai lagi. 

“Selepas itu, Othman mengajak saya berlakon untuk stesen TV Malaysia. Watak pertama saya lakonkan adalah sebagai pencuri.

“Sepanjang pembabitan awal dulu, banyak pencapaian yang saya raih antaranya menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk Festival Drama Malaysia pada tahun 1972,” ceritanya.

AZIZ JAAFAR

Razali memetik pengalaman bekerjasama dengan idolanya, Aziz Jaafar pada penghujung 70-an sebagai antara kenangan paling bermakna sepanjang bergelar pelakon.

Katanya, Aziz, antara pelakon yang banyak berkongsi ilmu dan bersikap rendah diri meskipun sudah ternama waktu itu.

“Kami mengikuti rombongan ke Pulau Pinang untuk pementasan Kacip Emas sekitar penghujung era 70-an. Ketua rombongan itu adalah arwah Aziz Singah. 

“Saya seronok berlakon dengan Aziz yang mesra dan suka berjenaka. Saya masih ingat ketika dia meminjam gelang kayu akar saya untuk dijadikan aksesori wataknya sebagai penghulu kampung dalam pementasan itu,” ceritanya.

DERITA SAKIT SARAF

Razali memaklumkan kini dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. 

Katanya, bagi mengisi waktu lapang, dia banyak mengikuti aktiviti berpersatuan yang dianjurkan rakan artis lain.

“Memang saya rindu berlakon. Tapi kesihatan tak mengizinkan lagi. Dengan sakit saraf yang saya alami, saya banyak bergantung dengan penggunaan tongkat untuk berjalan.

“Disebabkan itu, saya mengisi masa lapang dengan aktiviti yang dianjurkan persatuan antaranya Yayasan Kebajikan Artis Veteran, Seniman dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran.

“Saya berterima kasih  kepada semua pihak yg memberi sokongan sepanjang penglibatan saya dalam dunia lakonan, terutama arwah ibu saya, isteri serta anak-anak  yang banyak berkorban.

“Saya mohon ampun maaf pada semua atas segala kesalahan kesilapan kekurangan dan kelemahan, sama ada yang sengaja atau tidak. Yang baik itu dari Allah, yang baik dari saya sendiri,” kongsinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya