PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan dana sebanyak RM3 juta bagi Program Pembangunan Pendidikan Sabah tahun 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu bagi membiayai bantuan pendidikan seperti tuisyen dan seminar bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sumbangan itu turut meliputi kos-kos lain seperti bantuan persekolahan, bantuan awal pengajian, bantuan pengangkutan ke sekolah dan program asrama desa.
“Terima kasih YBR kerana sentiasa menyokong dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan golongan kurang bernasib baik.
“Ia sangat membantu dalam mendapatkan pendidikan terbaik terutama bagi golongan pelajar yang berada di pedalaman,” katanya semasa Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud, hari ini.
Pemberian dana itu dijangka akan memanfaatkan seramai lebih 65,000 pelajar kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.
Ia bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di kalangan pelajar-pelajar kurang bernasib baik terutama bagi yang berada di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, YBR akan terus komited dalam memberikan sokongan demi pembangunan modal insan di Sabah khususnya melalui bidang pendidikan. – UTUSAN