PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meluaskan bantuan untuk golongan kurang bernasib baik di seluruh Selangor bagi meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi penerima.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, Syahredzan Johan berkata, dengan kerjasama Persatuan Sosial Aspi Permata, pihaknya memberikan bantuan awal pengajian kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak berkemampuan .
Menurut beliau, seramai 40 pelajar dari golongan B40 dan asnaf menerima insentif memulakan pengajian sebanyak RM500.
“Selain membolehkan mereka memulakan semester pengajian, bantuan tersebut juga dapat membantu mereka menyediakan keperluan pengajian yang lain seperti peralatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, YBR juga turut terpangggil menyantuni adik Qaireen Adriana Tihani yang menderita penyakit Aortic Stenosis iaitu salur pembuluh darah ke jantung sempit. Selama 13 tahun hayatnya, beliau telah menjalani 3 kali pembedahan major dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
YBR di wakili oleh Ketua Bahagian Operari YBR, En. Mohd Mukhti Abd Rahman hadir memberikan sumbangan RM5,000 secara one off.
Menurut Mohamed Haffeiez Mansor, 40, “Bantuan berjumlah RM5,000 sebulan diperlukan bagi tempoh 5 bulan akan datang diharapkan dapat membantu keluarga mereka yang terhimpit masalah kewangan dalam mengumpul dana menjalankan pembedahan major untuk kali ke 4 bagi menukar injap utama jantung di Institut jantung Negara (IJN) yang dianggarkan kos awal sebanyak RM50,000 serta membiayai kos rawatan bulanan sementara waktu yang dianggarkan RM200-RM1000 setiap bulan,” yang tampil menerima sendiri sumbangan tunai dari wakil YBR di kediaman mereka di Pangsapuri Seri Jati, Setia Alam di sini hari ini.
Menurut Mohamed Haffiez Mansor lagi, penyakit yang dihadapi anak sulungnya telah dikesan sejak lahir lagi dan kehidupan mereka serta-merta berubah kerana perlu menjaga Qaireen Adriana Tihani, 13, yang sakit serta 3 lagi orang anak yang masih kecil.
“Saya baru diberhentikan kerja disebabkan tamat kontrak dan kini sumber pendapatan hanyalah menjaja pelbagai jenis jualan di sekitar Setia Alam manakala isteri baru sahaja 2 minggu diterima bekerja sebagai Pembantu Jualan dengan pendapatan sebanyak RM1,900 sebulan.”
Tambah beliau lagi, “Saya amat berterima kasih kepada YBR kerana sudi menyantuni kami dan memberikan sumbangan serta melihat keadaan anak kami yang memerlukan kos perubatan yang tinggi”.
Pada tahun 2024, YBR telah memperuntukkan sebanyak hampir RM700,000.00 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.
Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada adik Qaireen Adriana Tihani menyalurkan bantuan ke akaun CIMB, 7607551097 atau Bank Simpanan Nasional (BSN), 1111529000020021 atas nama Mohamed Haffiez Mansor (Bapa) atau menghubungi beliau di talian 019-6060168. – UTUSAN