KUALA LUMPUR: Seramai 50 pengamal media dan penggiat seni tanah air menerima bantuan masing-masing berjumlah RM1,000 seorang yang disumbangkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Kesemua pengamal media yang menerima bantuan itu bernaung di bawah Kelab Media KL dan Selangor (KLS); Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA); Kelab Media Putrajaya (KMP) dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).
Manakala, penggiat seni tanah air pula adalah ahli di bawah Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, pihaknya pernah melaksanakan agihan bantuan sama tahun lalu membabitkan 100 pengamal media yang kurang bernasib baik.
Beliau berkata, usaha ini juga sebagai salah satu inisiatif YAPEIM menghargai peranan yang dimainkan pengamal serta organisasi media di negara ini terutama dalam melaporkan berita berkaitan YAPEIM kepada masyarakat.
“Di samping itu YAPEIM turut menyedari akan nasib segelintir penggiat seni yang kurang bernasib baik apabila tidak lagi mempunyai pendapatan tetap serta diuji dengan penyakit kronik yang membataskan mereka untuk mencari rezeki.
“YAPEIM sentiasa memandang tinggi usaha dilakukan pengamal dan organisasi media yang tidak putus-putus menyokong YAPEIM dalam melaporkan berita dan menghebahkan maklumat kepada masyarakat secara seimbang dan adil,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan & Amal YAPEIM Bersama Media 2024, di sini malam tadi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Katanya, kerjasama yang amat baik diberikan pihak media membolehkan masyarakat lebih mengenali YAPEIM daripada sudut postif sekali gus menaikkan imej YAPEIM di mata masyarakat yang sentiasa ke hadapan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik di negara ini.
Mohd Radzif berkata, YAPEIM percaya hubungan baik antara sesebuah organisasi dengan pengamal media membolehkan sesuatu maklumat dapat disampaikan secara lebih berkesan sekali gus mampu mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat secara lebih meluas.
Untuk rekod, sehingga 30 Jun 2024 YAPEIM telah mengagihkan kira-kira RM703 juta membabitkan kira-kira 10 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak 1985.
Ini membabitkan pelbagai teras program iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pendidikan dan Pembangunan Sosial yang dilakukan secara inklusif dan sistematik. – UTUSAN