MELAKA: Sikap degil sebahagian peniaga melakukan kesalahan berulang menyebabkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 di negeri ini terus mencatatkan kes tertinggi setiap tahun.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 20 Disember lalu, pihaknya mencatatkan sebanyak 164 kes dalam kategori itu daripada 343 kesalahan.
Menurutnya, jumlah tersebut terhasil melalui pemeriksaan ke atas 28,808 premis melibatkan 13 kesalahan utama.
“Daripada 343 kes itu nilai rampasan yang berjaya diperoleh adalah sebanyak RM775,815.15 dan nilai keseluruhan kompaun diperoleh sebanyak RM248,300 sepanjang tempoh 1 Januari hingga 20 Disember lalu.
“AKHAP adalah kes paling banyak iaitu 164 kes berbanding 60 kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, 49 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang Sukat 1972 (45 kes) dan Akta Cap Dagangan 2019 (13 kes).
“Hampir setiap tahun AKHAP terus mencatat kes tertinggi kerana ramai peniaga di negeri ini degil dan melakukan kesalahan yang berulang dalam setiap operasi yang kita jalankan,” katanya selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Tambah Norena, pihaknya juga menerima sebanyak 1,639 aduan dan kira-kira 98 peratus berjaya diselesaikan manakala selebihnya dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Jelasnya, kes pemfailan tuntutan melibatkan kontraktor rumah di TTPM Melaka merupakan antara tertinggi yang diterima.
“Sebanyak 12 kes difailkan dan hanya sembilan kes berjaya diselesaikan manakala tiga kes masih dalam perbicaraan. Nilai keseluruhan tuntutan berjumlah RM237,794,” katanya.-UTUSAN