JOHOR BAHRU: Seorang warga emas lelaki melopong apabila hanya memperoleh RM4,000 sahaja selepas melabur lebih RM500,000 dalam pelaburan mata wang kripto.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 61 tahun, telah diperkenalkan dengan pelaburan itu oleh seorang kenalan wanita warga asing di Facebook, Jun lalu.
Katanya, kenalan mangsa bernama Sakura Gi Haruko, menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 0.8 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah memuat turun aplikasi Metamask dan Luno di Playstore.
“Lelaki itu telah memuat 32 transaksi ke 19 akaun berbeza yang diberikan bermula 23 Jun sehingga 17 November dengan jumlah modal keseluruhan sebanyak RM533,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balveer Singh berkata, walaupun pelaburan lebih setengah juta telah dilakukan, mangsa hanya menerima keuntungan sebanyak RM4,000 dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dia diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi pengeluaran wang keuntungan dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ jika ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat,” katanya. – UTUSAN