KUALA PILAH: Gara-gara memperdayakan sepasang suami isteri membabitkan penjualan pisang dan sebuah kenderaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,800, seorang lelaki warga emas ditangkap polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Abd. Gani berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan setelah mangsa membuat laporan polis pada hari sama.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, sekitar bulan Oktober lepas, suspek datang ke kebun mangsa di Kampung Pulau Pandan di sini untuk meminta kerja dan telah diberi upah bagi memotong rumput dan membantu kerja berkaitan di kebun tersebut.
“Suspek kemudiannya menjadi orang tengah menjual pisang dari kebun mangsa termasuk penjualan kenderaan Toyota Innova milik mangsa, bagaimanapun, setelah dua bulan suspek tidak memberikan wang hasil jualan berkenaan kepada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan sebelum bertindak melarikan diri.
“Seminggu sebelum melarikan diri, suspek dikatakan memberikan kad mesin pengeluaran wang automatik namun kad berkenaan tidak lagi aktif,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Amran berkata, suspek kini direman selama sehari dan siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN