KANGAR: Seorang wanita didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 34 peket minyak masak bersubsidi tanpa lesen pada Disember tahun lalu.
Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Salmee Changwang, 49,.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, yang juga seorang pemandu Grab, menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda, selain kenderaan miliknya dilucut hak. Tertuduh membayar denda itu.
Salmee didakwa memiliki barangan berjadual, iaitu 34 paket minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg), dalam keadaan yang menimbulkan syak.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kerana berurusan dengan minyak masak secara runcit dan borong tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar, pada pukul 4.30 petang, 19 Disember 2023.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Seksyen 22(1) AKB 1961 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pihak berkuasa telah menjumpai 34 paket minyak masak 1kg bersubsidi jenama Nusantara yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang bahagian belakang sebuah pikap Toyota Hilux Revo berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran Thailand.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, S. Mugunthan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN