PETALING JAYA: Pil untuk melancarkan haid kini digunakan secara berleluasa untuk menggugurkan kandungan terutama oleh mereka yang hamil di luar ikatan perkahwinan.
Lebih membimbangkan, pil tersebut yang mudah didapati dan dijual tanpa kawalan di platform e-dagang, media sosial dan pasaran gelap digunakan oleh remaja perempuan yang terlanjur untuk menggugurkan kandungan luar nikah.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai jamu di ibu negara seperti di Pasar Chow Kit dan Pasar Pudu mendapati pil haid itu dijual pada harga serendah RM8 hingga RM30 mengikut kuantiti.
Biarpun ada peniaga yang mengiklankan ubat tersebut dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti herba, namun kandungannya tetap diragui.
Selain pil melancarkan haid yang boleh dibeli menerusi platform e-dagang, pil klinikal yang sering digunakan di hospital iaitu Misoprostol dan Mifeprostone juga ada dijual secara terbuka dalam talian.
Pil tersebut yang mengandungi bahan Cytolog 200mcg berfungsi melembut dan membuka pintu rahim bagi tujuan menggugurkan kandungan itu dijual pada harga RM50 sebiji.
Berdasarkan laman web yang dipantau, pengguna disarankan membeli sekurang-kurangnya lapan biji pil berkenaan bagi tujuan pengguguran.
Mifepristone pula berfungsi menghalang penghasilan hormon progesteron iaitu sejnis hormon diperlukan badan untuk perkembangan proses kehamilan.
Masalah remaja hamil di Malaysia di tahap membimbangkan apabila seramai 44,263 remaja hamil direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu dengan 17,646 kes hamil anak luar nikah.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, pengambilan sebarang ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor pakar akan memberikan kesan negatif kepada tubuh badan.
Tambah beliau, pil melancarkan haid dijual dengan niat untuk digunakan sebagai pil gugur kandungan adalah satu kesalahan besar dan melanggar undang-undang negara.
“Pengambilan tanpa pengawasan doktor pakar, membahayakan tubuh badan dan boleh menyebabkan komplikasi berbahaya termasuk pendarahan tidak terkawal, jangkitan dan kerosakan pada rahim atau lebih teruk, janin dikandung, cacat.
“Pil ini tidak boleh diambil secara bersendirian dan juga tidak boleh dibeli terus di kaunter farmasi kerana pihak farmasi tidak dibenarkan mengeluarkan pil tersebut tanpa kebenaran yang sah.
“Menjual ubat-ubatan terkawal seperti ini di platform dalam talian, salah di sisi undang-undang. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai unit siber khas memantau pemasaran dan penjualan ubat-ubatan yang melanggar peraturan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Amrahi Buang menjelaskan, semua produk ubat dijual di Malaysia termasuklah pil dipasarkan sebagai ubat tradisional atau herba berada di bawah kawalan Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).
Semua ubat, walaupun berasaskan herba perlu didaftarkan di bawah NPRA di bawah kategori ubat tradisional.
“Jika produk tidak berdaftar dengan NPRA, ia tidak boleh dipasarkan atau dijual di negara ini. Orang ramai boleh melaporkan produk tidak sah kepada pihak berkuasa melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM.
“Sebagai langkah pencegahan, KKM turut melancarkan inisiatif ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (ToBATS) yang menyeru masyarakat tidak menggunakan produk ubat tidak berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, remaja terlanjur lebih gemar mengambil jalan pintas menggugurkan kandungan sebab terdesak dan takut kalau kehamilan mereka diketahui ibu bapa.
Kewujudan media sosial turut memudahkan remaja mencari pil-pil yang kononnya boleh digunakan untuk menggugurkan kandungan walaupun pil tersebut sebenarnya digunakan untuk tujuan lain.
Malangnya, remaja yang bertindak semberono ini tidak tahu kesan pengguguran tersebut terhadap mental dan fizikal pada masa akan datang.
“Ramai remaja yang pernah menggugurkan kandungan melalui cara ini menghadapi kesukaran untuk hamil selepas berkahwin dan dihantui rasa bersalah dan berdosa, yang akhirnya membawa kepada masalah keresahan, kemurungan dan insomnia.
“Peringkat awal, mungkin mereka rasa tindakan itu menyelesaikan masalah, namun bila memasuki usia 40-an atau 50-an, mula menyesali perbuatan itu,” katanya.
Seorang gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Amira berusia 20-an memberitahu, dia mengetahui kewujudan ubat-ubatan tersebut selepas dimaklumkan rakannya dan akibat terdesak ingin menggugurkan kandungan, dia sanggup mengambil risiko.
Dia termakan kata-kata rakannya yang ubat berkenaan membantu menggugurkan kandungan tanpa perlu ke hospital atau klinik.
“Saya tidak boleh fikir secara waras selepas mengetahui hamil luar nikah, dan rakan saya memperkenalkan ubatan itu (pil pelancar haid).
Tanpa berfikir panjang, saya ambil dan saya berjaya gugurkan kandungan.
“Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila saya mengalami pendarahan serius sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Saya ingat, penderitaan akan berakhir di situ, namun sangkaan saya meleset apabila sehingga hari ini saya masih menyesali perbuatan tersebut dan mungkin tidak dapat memaafkan diri sendiri.
“Tindakan keji itu bukan sahaja menambah dosa, malah hampir meragut nyawa saya,” ujarnya. – UTUSAN