TANGKAK: Seorang wanita mengalami kerugian RM70,000 apabila termakan helah seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis mendakwa dia terlibat dalam penggubahan wang haram.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd.Talib, mangsa yang berusia 55 tahun menerima panggilan telefon pada 18 September lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai polis yang kemudian disambungkan ke ‘Balai Polis Ampang’ yang memberitahu mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
“Mangsa diminta untuk mendaftarkan nombor telefon yang diberikan suspek atas akaun miliknya untuk tujuan siasatan.
“Mangsa tidak melakukan sebarang transaksi atau pembayaran, namun apabila melakukan semakan akaun miliknya kelmarin, mendapati wang simpanannya sudah berkurangan. Mangsa menyedari menjadi mangsa ‘scammer’ dan kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat serta didenda, jika sabit kesalahan.
Justeru, orang ramai dinasihati supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan penyamaran dalam talian serta membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.