BALIK PULAU : Hasrat seorang wanita warga Nigeria untuk bekerja sebagai pembantu rumah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia diperdaya untuk melibatkan diri dalam kegiatan seks ketika berada di negara ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa yang berusia 25 tahun itu dipercayai datang ke Malaysia pada 10 Oktober lalu melalui seorang ejen wanita yang juga warga Nigeria.
Kata beliau, apabila menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian bertindak melarikan diri dari sebuah rumah di Bayan Lepas di sini sebelum tampil membuat laporan polis, Rabu lalu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya telah menyerbu rumah tersebut kira-kira pukul 10 malam, semalam.
“Dalam serbuan itu, empat individu yang terdiri daripada seorang wanita tempatan serta tiga warga asing iaitu dua lelaki dan seorang wanita Nigeria yang berusia dalam lingkungan umur antara 24 hingga 37 tahun telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sazalee memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan pelancong.
“Setakat ini, polis hanya mengesan seorang mangsa sahaja yang terlibat dalam kes ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya yang memaklumkan, antara yang ditahan termasuk pasangan kekasih.
Jelas Sazalee, modus operandi yang digunakan oleh sindiket itu ialah dengan memaksa mangsa menjadi pekerja seks di pusat-pusat hiburan tertentu dengan upah antara RM150 hingga RM500.
Tambah beliau, ketika ini, mangsa bagaimanapun telah ditempatkan di sebuah pusat perlindungan buat sementara waktu sebelum tindakan selanjutnya diambil.-UTUSAN