Wanita mengaku salah, menyesal bakar motor - Utusan Malaysia

Wanita mengaku salah, menyesal bakar motor

ZAINATUL Rafeda Zainul Abidin didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas tuduhan membakar motosikal dalam kejadian Khamis lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang peniaga pisang goreng sebak ketika mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan sebuah motosikal terbakar, Khamis lalu.

Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa telah melakukan perbuatan khianat dengan api sehingga menyebabkan kerosakan kepada harta iaitu sebuah motosikal jenis Honda RSX warna hitam bernilai RM7,000 milik Zainatul Syakira Amira Zaini, 22.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Masjid Pokok Assam di Taiping pada pukul 3.50 petang, 26 Disember 2024.

Kesalahan itu dikemukakan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.

Terdahulu, ketika diberi peluang untuk membuat rayuan di hadapan Nabisha, Zainatul Rafeda berkata, pertuduhan yang dikemukakan itu merupakan kesalahan pertamanya dan dia telah menyesal dengan perbuatan tersebut.

“Saya mengaku bersalah, saya menyesal Yang Arif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan tidak menghubungi dan mengganggu mangsa serta pengadu sehingga kes selesai.

Wei Jun bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum atas alasan wanita itu berpendapatan bulanan sebanyak RM1,000 dengan berniaga pisang goreng dan apam balik selain perlu menjaga suami yang menghidap strok dan empat orang anak.

Nabisha kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 14 Januari depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu fakta kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan berikutan tindakannya membakar sebuah motosikal yang hendak ditarik ekoran gagal menjelaskan bayaran tertunggak selama 20 bulan.

Kejadian yang tular di media sosial itu berlaku ketika penarik kenderaan datang untuk membawa motosikal berkenaan namun wanita terbabit tidak berpuas hati lalu menyimbah cecair disyaki petrol ke atas motosikal dan membakarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya