KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan atas keputusan mahkamah yang menolak usahanya mendaftarkan anak lelakinya sebagai warganegara Malaysia.
Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Srimurugan & Co. pada 23 Disember lalu di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.
Pada 29 November lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan wanita itu atas alasan wanita itu gagal membuktikan bahawa anaknya adalah seorang warganegara Malaysia mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.
Dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran itu, wanita yang berumur sekitar 40an itu ingin merujuk beberapa persoalan undang-undang antaranya tafsiran perkataan `ibu bapa’ dalam Jadual kedua, Bahagian II Seksyen 1(a) Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja merujuk kepada ibu bapa kandung tetapi juga mereka yang dianggap sebagai ibubapa.
Selain itu wanita itu juga ingin mahkamah memutuskan sama ada perintah untuk ibu bapa menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) melanggar hak privasi seseorang individu
Dalam keputusan Mahkamah Rayuan November lalu, panel hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi dan bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menyatakan terdapat keraguan mengenai identiti bapa kandung remaja tersebut dan syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan gagal dipenuhi.
Malah, lelaki yang dinamakan sebagai bapa kandung pada sijil kelahiran remaja itu juga telah menafikan perkara tersebut semasa siasatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kes itu membabitkan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki Malaysia pada tahun 2000 dan memiliki dua anak lelaki iaitu yang lahir pada 2004 serta 2010. Kedua-duanya telah didaftarkan sebagai anak lelaki itu dan dikeluarkan sijil kelahiran.
Apabila anak kedua pasangan itu berumur 12 tahun, wanita terbabit telah memohon kad pengenalan Malaysia (MyKad) namun kesnya telah dirujuk untuk siasatan lanjut selepas pihak berkuasa mendapati kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang persamaan fizikal dengan lelaki terbabit.